ALOR GAJAH – Jumlah pendaratan penyu karah di 18 perairan pantai negeri Melaka adalah konsisten dengan purata antara 350 hingga 450 ekor setahun dan jumlah penetasan telur antara 25,000 hingga 40,000 biji.
Pengarah Jabatan Perikanan, Rosmawati Ghazali berkata walaupun begitu jumlah pendaratan penyu karah di beberapa lokasi di perairan pantai di negeri itu mencatatkan pengurangan, antaranya Pulau Upeh atas pelbagai faktor.
Beliau berkata perairan pantai di Melaka merupakan tumpuan bagi penyu karah mendarat untuk bertelur dan sekiranya habitat di sepanjang pantai berkenaan terjejas ia akan memberi kesan terhadap jumlah pendaratan penyu karah.
“Pada tahun lepas, jumlah pendaratan penyu di Pulau Upeh hanya 15 ekor berbanding tahun sebelumnya menjangkau lebih 100 ekor. Secara keseluruhanya, pula hanya 418 ekor penyu karah mendarat di perairan pantai Melaka pada tahun lepas berbanding 438 ekor pada tahun 2014.
“Kepanasan global merupakan antara faktor yang menyebabkan bilangan pendaratan penyu berkurang selain kualiti air dan pembangunan berhampiran kawasan pendaratan,” katanya kepada pemberita selepas Program Jabatan Perikanan Melaka bersama Media ‘Terpahat Memori di Padang Kemunting’ di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu di Padang Kemunting di sini.
Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya kini giat melaksanakan pemantauan di sepanjang perairan berkenaan dan pelbagai program bagi memupuk kesedaran awam terhadap haiwan purba berkenaan agar ia dapat mendarat di perairan di Melaka.
Katanya antara programnya termasuk program anak angkat penyu yang kini dilaksanakan bagi seorang individu untuk seekor penyu berbanding satu syarikat untuk satu sarang telur penyu.
Sementara itu, Rosmawati berkata kerajaan negeri Melaka dalam usaha mewartakan beberapa lokasi pendaratan penyu karah antaranya termasuk Pulau Upeh, Padang Kemunting, Meriam Patah, Tanjung Dahan dan Tanjung Bidara bagi memastikan habitat spesies penyu berkenaan tidak terancam.
“Apa yang penting adalah kesedaran orang ramai terhadap haiwan ini. Selagi kita dapat kutip telur penyu, menetaskannya seterusnya melepaskan ke laut semula ia akan memelihara ekosistem laut dan menjamin kelangsungan hidup haiwan berkenaan,” katanya. – BERNAMA