KUALA LUMPUR – Berikutan prestasi tidak menentu pasukan Kelantan musim ini, jurulatihnya K.Devan mengumumkan peletakkan jawatan beliau semalam.
Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa berkata, Devan meletakkan jawatan setelah berbincang dgn KAFA sejak beberapa minggu lalu.
“Beliau mengundur diri secara baik dan penuh hormat selepas beliau secara peribadi merasakan beliau telah berusaha sebaik mungkin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Annuar berkata, KAFA mengucapkan ribuan terima kasih atas khidmat Devan yang sangat berdedikasi dan jujur.
Jelasnya, kedatangan Devan ke Kelantan dengan ikhlas mahu cuba membantu pasukan itu dengan terma yang paling ‘ringan’.
“Malah beliau menangguhkan hasratnya beberapa kali bagi memberi kita peluang membuat persiapan.
“Pengganti Ketua Jurulatih Kelantan akan diumumkan petang ini,” katanya.
Sepanjang melatih Kelantan, Devan hanya mampu melakar tiga kemenangan dalam sepuluh perlawanan Liga Super dan membawa pasukan itu berada di kedudukan keenam dengan 12 mata. – MYNEWSHUB.CC