SINGAPURA –  Kafe Hello Kitty pertama di Singapura telah membuka pintunya semalam kepada orang ramai seperti yang diberitahu oleh pihak Lapangan Terbang Antarabangsa Changi.
Menurut Andrew Khoo, Ketua Pegawai Operasi ABR Holding kepada sebuah portal Singapura, pihaknya akan mengemukakan permohonan sijil halal bagi kafe tersebut pada minggu hadapan.
Menurut sumber itu lagi, seramai 100 peminat watak ikonik Sanrio itu beratur di Dewan Terminal 3 lapangan terbang itu untuk mendapatkan anak patung kucing terkenal versi Singapura tersebut.
Difahamkan juga maskot Hello Kitty edisi khas Singapura itu hanya terdapat sebanyak 500 sahaja dan dijual dengan harga S$49.90 (RM147.25).
Kafe bertemakan Hello Kitty tersebut terletak di Dewan ketibaan Terminal 3 Lapangan Terbang Changi, adalah yang pertama di dunia beroperasi selama 24 jam.
Pihak Lapangan Terbang Changi dalam kenyataannya yang terdahulu berharap kafe itu akan menjadi salah satu daya tarikan di sana dan menjadi destinasi wajib bagi setiap pengunjung yang mahu berlepas dari negara itu. -MYNEWSHUB.CC