SEREMBAN – Seorang kanak-kanak berusia 18 bulan maut selepas dipercayai lemas setelah terjatuh ke dalam baldi berisi air di dapur rumahnya di Bukit Gombang, Batu Kikir dekat sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Jempol, Supt Noorzainy Mood Noor berkata kejadian itu berlaku kira-kira pukul 10.30 malam dan hanya disedari oleh bapanya yang mendapati anaknya Muhammad Fahrul Firnas Nor Azuan sudah lemas di dalam baldi.
“Berdasarkan siasatan awal, pengadu yang juga merupakan bapa mangsa bersama isteri dan tiga anaknya termasuk mangsa yang merupakan anak bongsu berada di dalam rumah. Mangsa dikatakan sedang bermain dengan kakaknya di dalam bilik.
“Kakaknya itu bagaimanapun telah keluar dari bilik dan pergi kepada ibunya di luar rumah, ibunya kemudian telah bertanyakan pada anaknya itu di mana adik lelaki dan kakaknya menjawab adiknya bersama bapa di dalam bilik.
“Curiga kerana tidak mendengar suara mangsa, ibu dan bapa mangsa telah mencari anaknya di dalam rumah dan menemui anaknya di dalam baldi dalam keadaan kepala di dalam baldi berisi air di bahagian dapur rumah,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Noorzainy berkata bapa mangsa telah mengangkat mangsa keluar daripada baldi dan cuba membuat bantuan pernafsan tetapi gagal dan terus menghantar mangsa ke Hospital Kuala Pilah dan mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 11.45 malam tadi.
“Berdasarkan siasatan awal, bapa mangsa memberitahu baldi yang berisi air itu adalah untuk stok simpanan air memandangkan dua tiga hari ini berlaku gangguan bekalan air,” katanya.
“Bapa mangsa memaklumkan bahawa baldi air tersebut kebiasaanya memang tidak ditutup,” katanya.
Katanya bedah siasat akan dijalankan pagi ini dan kes setakat ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut. – BERNAMA