BEKAS Presiden Seniman dan pelakon veteran, Datuk Aziz Singah kini sedang dirawat di Institut Kanser Negara, Putrajaya berikutan kanser prostat yang dihidapinya kembali merebak.
Aziz, 75, yang menghidap kanser prostat sejak lima tahun lalu dimasukkan ke wad sejak tiga hari lalu selepas mengadu sakit di bahagian pinggang.
Menurut Aziz, selepas menjalani pemeriksaan, doktor mengesahkan penyakit yang dihidapinya itu kini kembali merebak.
“Pada awalnya, saya cuma sakit di bahagian pinggang. Apabila sakitnya semakin menjadi-jadi, saya ke hospital dan doktor mengesahkan bahawa kanser prostat saya yang saya hidapi sejak 2011 kembali merebak.
“Sebelum ini, penyakit kanser saya sudah mula pulih. Namun sekarang ia muncul semula,” katanya kepada Harian Metro.
Nama Aziz sememangnya sudah tidak asing lagi dalam industri seni kerana lakonannya sering kali berjaya meninggalkan kesan dalam hati penonton.
Antara drama yang pernah dibintangi Aziz adalah, Sembilu Kasih, Sate, Maria Mariana, Impian, Kemarau Cinta dan terbaru filem terbitannya, Pulau Asmara.
Aziz juga suatu ketika dahulu popular dengan iklan teh Boh pada tahun 1974 hingga 1975. – MYNEWSHUB.CC