PUTRAJAYA – Kebolehpasaran graduan institut pendidikan dan latihan koperasi, Maktab Koperasi Malaysia (MKM), melepasi 83 peratus sehingga tahun lepas, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Beliau berkata MKM yang diberi tanggungjawab bagi pembangunan modal insan koperasi, berjaya melahirkan 862 graduan mulai 1991.
“Ini sekali lagi membuktikan bahawa graduan dilahirkan di MKM mempunyai kredibiliti yang tinggi untuk berdiri seiring dengan institusi pendidikan yang lain dan menceburi di sektor kerajaan, swasta, koperasi dan bekerja sendiri,” katanya pada Majlis Konvokesyen MKM Ke-20 di sini Selasa.
Hamzah berkata kini terdapat 12,000 koperasi di seluruh negara, dengan 60 peratus daripadanya adalah koperasi aktif dan menyumbang RM35 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara setahun.
“Dengan graduan MKM, ia secara tidak langsung membantu meningkatkan dan mengukuhkan tadbir urus sesebuah koperasi dan menjadi koperasi satu entiti yang lebih berdaya saing dan berdaya tahan,” katanya.
Sementara itu, Hamzah berkata penubuhan University of Trade and Co-operative (UTRAC) kini dalam peringkat perbincangan akhir dengan agensi-agensi di bawah KPDNKK.
“Universiti ini bukan hanya menawarkan kursus dalam bidang koperasi tetapi ia meliputi bidang perdagangan dan ekonomi. Ini akan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada bakal graduan,” katanya. – BERNAMA