KUCHING – Ahli keluarga Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Sundaran N. Amalai tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada 8.45 pagi tadi menggunakan pesawat Malindo Air.
Difahamkan, mereka dibawa ke satu lokasi yang belum dipastikan dipercayai berhubung kehilangan helikopter yang membawa lima penumpang termasuk Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon dan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad.
Usaha wartawan untuk menemubual mereka bagaimanapun gagal dan ahli keluarga berkenaan dibawa menaiki kenderaan rasmi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) tidak lama selepas itu.
Wartawan Harian Metro yang turut berada dalam pesawat sama sempat mendengar perbualan antara ahli keluarga dan masing-masing kelihatan sugul.
Lewat malam tadi, satu pertemuan antara Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Karim diadakan di Pangkalan Udara Kuching dipercayai turut membabitkan ahli keluarga penumpang helikopter jenis AS350/RP C 6828 itu. – myMetro Online