ZAMAN sekarang susah nak jumpa orang yang benar-benar jujur dalam melakukan sesuatu pekerjaan.
Namun, seorang tukang pemotong rumput yang berasal dari Myanmar berbangsa Rohingya ini membuktikan sebaliknya apabila dia benar-benar ikhlas dan jujur dalam mencari sumber rezeki.
Seorang netizen berkongsikan kisah kejujuran hati pemotong rumput itu yang secara tidak sengaja telah memecahkan cermin belakang keretanya ketika sedang melakukan rutin kerjanya.
Sebaik dicari pemilik kereta itu, si pemotong itu mengaku dia telah memecahkan cermin itu secara tidak sengaja dan membawanya pergi ke kedai cermin untuk ganti rugi dengan menggunakan wang yang diberikan oleh majikannya.
Dia ada ruang secukupnya untuk lari dan mengelakan diri, namun memilih untuk tidak berbuat demikian.
Menurut netizen itu, walaupun negara asalnya sedang bergolak dan dia melalui kehidupan yang cukup perit, namun hal itu tidak menghalang pemotong rumput itu untuk mengakui kesalahannya kerana takutkan pembalasan di hari akhirat.
Pengajarannya di sini, bila bertemu seseorang yang tidak berkemampuan dari segi wang ringgit, seorang pendatang yang sekadar membuat kerja-kerja rencam atau apa-apa sahaj, jangan sesekali kita memandang rendah terhadap kejujuran dan keikhlasan mereka dalam melakukan sesuatu pekerjaan.
Yang penting dalam melakukan sesuatu, lakukan dengan ikhlas dan jujur selain mengakui kesalahan serta tidak lari daripadanya. – MYNEWSHUB.CC