DUNGUN – Seorang kelindan lori terbunuh selepas lori yang dinaikinya bertembung dengan sebuah kereta di Kilometer 91 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, di sini.
Dalam kejadian 3 petang semalam, Samana Othman, 49, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan.
Ketika kejadian mangsa bersama pemandu Shah Rizan Hassan, 36, dalam perjalanan untuk menghantar barangan pertukangan ke bandar Dungun namun ketika tiba dilokasi nahas kereta Honda Jazz yang dipandu seorang remaja bersama dua lagi penumpang dipercayai memasuki laluan bertentangan hingga bertembung dengan lori yang dinaiki mangsa.
Ia menyebabkan lori seberat tiga tan itu berpusing beberapa kali dan mangsa yang duduk di bahagian penumpang tercampak keluar.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Dungun Supt Ahmad Zailani Yaacub berkata pemandu lori berkenaan turut mengalami kecederaan ringan manakala seorang daripada penumpang kereta itu mengalami kecederaan pada bahagian kepala.
“Pemandu kereta yang berusia 18 tahun bersama seorang lagi penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Dungun untuk bedah siasat dan mangsa yang cedera juga turut menerima rawatan di hospital sama,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata pihaknya akan melakukan ujian darah dan alkohol terhadap pemandu kereta tersebut. – BERNAMA