PETALING JAYA – Khabar angin di laman media sosial mengenai Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang didakwa sedang menjalani pembedahan serius disahkan palsu oleh pembantunya.
Menurut Setiausaha Akhbar II Pandikar, Ng Chu Hing, entri di laman Facebook yang disebarkan melalui WhatsApp adalah palsu.
“Tidak benar, beliau okey,” katanya ketika dihubungi The Star Online pada pagi Ahad.
Ng mengesahkan Pandikar kini berada di Singapura bersama keluarga semasa cuti persekolahan.
Entri di Facebook itu mendakwa Pandikar diserang angin ahmar dan sedang menjalani kraniotomi.
Pada Januari 2010, Pandikar mengalami serangan kecil diikuti dengan pembedahan pintasan. – mStar Online