SEPASANG suami isteri di Las Vegas, Amerika Syarikat berkata kucing yang dibela oleh mereka ‘memaklumkan’ kepada mereka tentang kebakaran di rumah.
Menurut laporan media tempatan, satu kebakaran marak telah berlaku di rumah pasangan itu di Summerlin sekitar pukul 2 pagi pada 22 Mei, Ahad lalu.
Pasangan itu memberitahu bomba bahawa mereka sedang tidur ketika kejadian tersebut berlaku dan langsung tidak menyedari rumah mereka sedang dijilat api marak.
Mereka berdua hanya terjaga daripada tidur apabila mendengar bunyi kucing mereka yang sedang mencakar pada kabinet kayu yang seolah-olah sedang mengejutkan mereka.
Setelah menyedari tentang kebakaran tersebut, mereka segera menghubungi polis dan meninggalkan rumah itu bersama kucing dan anak saudara mereka yang tinggal bersama.
Pihak bomba mengesahkan tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan hanya bahagian garaj rumah tersebut musnah kerana kebakaran tersebut. – MYNEWSHUB.CC