SEORANG netizen terkejut mendapati seutas keychain atau rantai anak kunci miliknya yang menggunakan gambar kiblat orang Islam, terselit tanda salib pada bahagian dalam keychain tersebut.
Pengguna Facebook, Atisha Tisha memuat naik beberapa keping gambar itu dengan mengatakan keychain tersebut dibeli oleh ibunya ketika melakukan ibadah umrah di tanah suci baru-baru ini.
“Keychain ni umie beli dari Makkah, lambang Kaabah dan tiba-tiba terjatuh dari meja, so di dalamnya ada tanda salib? Bakpo boleh jadi begini? Sedangkan keychain ni datang dari tanah suci Makkah,” tulis di posting bergambarnya.
Difahamkan, Atisha menyedari lambang salib berkenaan susulan keychain tersebut terjatuh dan menyebabkan gambar Kaabah tertanggal sehingga menampakkan bentuk tanda salib di bahagian dalamnya.
Lantas netizen di media sosial tidak henti-henti mengeluarkan pendapat masing-masing serta ada yang mengatakan ia sebenarnya adalah ‘modus operandi‘ terbaharu oleh mubaligh Kristian.
Jika anda masih ingat, insiden yang sama juga pernah dilaporkan berlaku pada tahun lepas di mana, keychain milik Kolej Matrikulasi Perlis (KMP) turut dikatakan mempunyai lambang salib di dalamnya.
Kaitan: Keychain Tanda Salib Di Kolej Matrikulasi Perlis?
Perkara tersebut telah dijelaskan oleh pihak pembekal keychain dengan memohon maaf dan mengatakan bahawa silang yang seakan lambang salib itu sebenarnya adalah berfungsi sebagai tapak untuk digamkan gambar.
Mereka juga telah menarik balik pengeluaran keychain dan mengatakan tiada niat untuk melakukan perkara yang radikal seperti penyebaran fahaman Jesus atau sebagainya.
Jadi apa kata anda berkenaan keychain Kaabah ‘Salib’ ini. Adakah pihak pembekal terlalu naif dan tidak mempunyai sensitiviti agama? – MYNEWSHUB.CC