LUAR biasa… Seorang lelaki berusia 53 tahun mampu berlari sejauh 563 kilometer (km) selama 80 jam dan 44 minit tanpa henti sama seperti watak Forrest Gump lakonan Tom Hanks.
Menurut sebuah portal, Dean Karnazes telah melakukan marathon sehingga ke Kutub Selatan malah melengkapkan cabaran 50 marathon secara berturut-turut selama 50 hari tanpa mengalami sebarang kekejangan otot.
Jelas Karnazes lagi, kemampuan dimiliki itu disedarinya ketika usia remaja apabila mampu membuat larian sebanyak 105 pusingan tanpa henti berbanding rakan-rakannya yang lain hanya sekadar 15 pusingan sahaja.
“Pada satu tahap yang sukar, saya rasa seolah-olah masih mampu untuk berlari lebih jauh tanpa rasa penat. Tidak kira sekuat mana saya mengerah tenaga, otot saya tidak pernah kejang.
“Sejak itu saya bercadang untuk lari lebih jauh,” katanya kepada portal berita tersebut.
Jelas portal itu lagi, kemampuan ‘luar biasa’ yang dimiliki oleh Karnazes adalah berpunca daripada kebolehan dirinya untuk membuang asid laktik yang menyebabkan kekejangan otot.
Selain itu, dia juga mendapat jolokan sebagai manusia luar biasa kerana kemampuannya itu.
Kelebihan yang dimiliki membolehkan Karnazes menjuarai beberapa pertandingan marathon dunia yang disifatkan sebagai mencabar.
“Saya tidak kisah berapa laju larian saya tetapi apa yang penting bagi saya ialah sejauh mana saya mampu berlari,” katanya. – MYNEWSHUB.CC