PARIT BUNTAR – Mayat seorang lelaki ditemui terapung dalam tali air Estet Simpang Lima, Perak dekat sini, semalam.
Dalam kejadian jam 8 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Cheah Ah Kok, 43, yang dipercayai terbabas ke dalam tali air berkenaan bersama motosikal ditunggangnya.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Peyelamat Parit Buntar, Pegawai Bomba (PB) Harun Kasim berkata, pihaknya menerima panggilan daripada polis untuk bantuan mengambil mayat berkenaan pada pukul 8.15 pagi.
“Berdasarkan maklumat diperoleh mangsa berasal dari Taman Pekan Baru di sini, dan ditemui penduduk kampung yang kemudiannya memaklumkan kepada pihak polis.
“Pihak kami bertindak membantu pihak polis mengambil mayat yang berada dalam tali air berkenaan ke daratan kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada jam 9.25 pagi,” katanya ketika dihubungi semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob mengesahkan kejadian dan siasatan awal pihaknya mendapati tiada unsur jenayah dilakukan.
“Mayat dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk dibedah siasat bagi mengenalpasti punca kejadian,” katanya.
– MYNEWSHUB.CC