SEORANG lelaki menawarkan percutian percuma selama enam bulan di kepulauan Caribbean kepada sesiapa yang dapat membantu teman wanitanya menjalani proses pemulihan selepas terlibat dalam satu kemalangan.
Tawaran oleh Jeremie Tronet itu turut meliputi kos penerbangan dan makanan.
Jeremie merupakan peluncur profesional dan memiliki pusat peluncuran di Pulau Union.
Menurut Jeremie, individu tersebut perlu membantu teman wanitanya, Zoe Schaffer-Jennett untuk pulih semula.
Zoe telah terjatuh ke dalam parit dan mengalami patah tulang paha.
Sebagai seorang kekasih yang penyayang, Jeremie sudah pasti tidak sanggup melihat kekasih hatinya menderita dan atas sebab itu dia membuat rayuan berkenaan menerusi Facebooknya.
Zoe sebelum ini terpaksa dipindahkan ke Martinique untuk menjalani pembedahan dan dalam prosedur berkenaan, tiga skru telah dimasukkan ke dalam tulangnya.
Ia mengakibatkan Zoe tidak boleh berjalan dan terpaksa menjalani proses pemulihan selama berbulan-bulan sebelum kembali normal.
Disebabkan mereka tidak mempunyai insurans kesihatan, maka Jeremie tidak dapat menghantar Zoe ke pakar fisioterapi.
“Untuk pembedahan dan kos hospital bukan satu isu yang besar namun masalah utama ialah kami dimaklumkan oleh pakar bedah bahawa Zoe perlu berada di pusat pemulihan selama lima bulan.
“Pusat berkenaan mengenakan kos antara $1200 hingga $2000 sehari dan kos itu boleh mencecah sehingga $300,000,” katanya.
Atas sebab itu, Jeremie mahu mengupah fisioterapi peribadi bagi merawat kekasihnya.
Jeremie juga sanggup menanggung kos perbelanjaan jika individu yang terpilih itu mahu membawa pasangannya sekali. – MYNEWSHUB.CC