KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (PAN) seolah olah mahu menyalahkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) berikutan kekalahan teruk parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-11.
Presiden PAN, Mohamad Sabu berkata, perebutan kerusi yang ditandingi oleh PKR dan DAP antara faktor yang menyebabkan Pakatan Harapan tewas di kebanyakan kerusi yang ditandingi oleh ketiga-tiga parti berkenaan.
“Faktor ketidak seragaman Pakatan Harapan khususnya pertembungan kerusi sesama sendiri juga menyumbang kepada keadaan ini.
“Pakatan Harapan dilihat tidak turun sebagai satu pasukan dalam menghadapi Barisan Nasional (BN) di Sarawak,” tegasnya dalam satu kenyataan media semalam.
PRN Sarawak kali ini menyaksikan PKR dan DAP bertanding sesama sendiri di enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) walaupun kononnya ketiga-tiga parti membawa nama Pakatan Harapan.
PKR menuduh DAP tamakkan kerusi manakala DAP mendakwa kerusi yang ditandingi terbabit wajar diberikan kepada parti itu kerana lebih sokongan ke atas DAP di kawasan terbabit. – mynewshub.cc