PEMAIN sensasi Arsenal, Mesut Ozil telah berangkat ke Makkah, Arab Saudi baru-baru ini bagi menunaikan ibadah umrah sebelum berlangsung kejohanan bola sepak EURO 2016 yang akan berlangsung di Perancis bulan hadapan.
Gambar dan video pemain antarabangsa Jerman berketurunan Turki itu di Tanah Suci mula tersebar di media sosial malah kelibat Ozil itu disedari beberapa jemaah di sana waima mereka juga sempat merakamkan selfie bersamanya.
Bintang Arsenal berusia 27 tahun itu sememangnya terkenal sebagai seorang Muslim yang taat. Malah dia sering dilihat menadah tangan berdoa sebelum tiupan wisel sesuatu perlawanan disertainya bermula.
Sekembalinya daripada menunaikan umrah, Ozil akan bersama-sama dengan pasukan Jerman bagi membuat persiapan akhir menghadapi perlawanan berprestij benua Eropah itu di sekitar Perancis.
Difahamkan, semasa keberadaan di Timur Tengah itu, Ozil telah melawat sebuah kem pelarian di Jordan iaitu Kem Zaatari dan sempat meluangkan masa bermain bola sepak dengan penghuni kem tersebut.
Selain Ozil, terdapat beberapa pemain bola sepak dunia Muslim yang terkenal seperti Riyad Mahrez (Leicester City) dan Adnan Januzaj (Manchester United) yang turut sama menunaikan umrah. – MYNEWSHUB.CC