KUALA LUMPUR – Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin menempelak pihak menjual air atau kismis jampi yang kononnya berkeupayaan memberi kepandaian dan mengubah sikap seseorang.
Tegas beliau, dakwaan air atau kismis atau apa bahan-bahan jampi lain boleh meyebabkan orang tidak pintar menjadi pintar dan memulihkan perangi suami atau anak sangat meragukan.
“Atas nama agama dijual air dan barangan jampi yang pelik-pelik sehingga ada yang membuat bisnes air tertentu yang dijampi secara tulisan dan bacaan. Diberi pula nama yang berbagai-bagai. Kononnya itulah ajaran Islam.
“Saya tidak menafikan baginda Nabi S.A.W pernah menjampi penyakit seperti mana baginda juga berubat dengan bahan-bahan perubatan yang lain. Tetapi ini sudah luar biasa lagi mengatasi Nabi Muhammad S.A.W sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd. Asri menjelaskan, baginda tidak menjampi kaum Quraish agar beriman, bahkan bapa saudaranya yang dekat dan dikasihi iaitu Abu Talib pun meninggal dalam keadaan kufur tanpa dijampinya.
Katanya, kalau dengan menjampi manusia boleh berubah sikap, pasti Nabi S.A.W akan menjampi telaga zam-zam kerana itu sumber air Quraish ketika itu.
“Pasti Quraish akan berubah apabila terminum. Hal ini tidak berlaku dalam sirah baginda.
“Kalau benar ada orang boleh menjampi sehingga mengubah sikap manusia kepada baik atau mencerdikkan manusia maka eloklah kita mengupahnya menjampi empangan-empangan air di negara ini agar semua rakyat menjadi baik dan cerdik,” katanya lagi. - MYNEWSHUB.CC