KAHERAH – Tentera laut Mesir dilaporkan berjaya menemui cebisan mayat, serpihan pesawat dan barangan peribadi milik penumpang yang terapung-apung di Laut Mediterranean.
Ia merupakan pengesahan buat julung-julung kalinya bahawa pesawat EgyptAir jenis Airbus A320 penerbangan MS804 itu yang membawa 66 orang sebagai terhempas ke dalam laut.
Laporan yang belum disahkan mengenai data penerbangan dari pesawat itu mendapati bahawa juruterbang mungkin bergelut dengan beberapa masalah, beberapa minit sebelum terhempas.
Pesawat malang itu hilang dari imbasan radar ketika dalam perjalanan rutin dari lapangan terbang antarabangsa Charles de Gaulle, Paris, Perancis ke ibu kota Mesir, Kaherah awal pagi Khamis lalu.
“Tentera Mesir menjumpai lebih banyak serpihan, sesetengah barangan peribadi penumpang, cebisan mayat dan tempat duduk pesawat,” menurut Kementerian Penerbangan Awam dalam satu kenyataan.
Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi menyampaikan ucapan takziah secara rasmi kepada ahli keluarga dan orang tersayang kepada puluhan mangsa yang berada dalam pesawat komersial tersebut.
Tentera laut Mesir menjalankan operasi pencarian di kawasan sekitar 290 kilometer di utara Iskandariah, yang terletak di kawasan terakhir pesawat dilaporkan hilang dari imbasan radar.
Sebahagian besar bangkai pesawat masih belum dijumpai, bahkan isyarat lokasi dari kotak hitam atau perakam data penerbangan yang boleh memberi petunjuk tentang punca nahas; gagal dikesan.
Pengerusi EgyptAir, Safwat Moslem memberitahu stesen televisyen negara Mesir bahawa zon pencarian berada dalam lingkungan 64 kilometer, justeru kawasan pencarian seluas 8,046 kilometer.
Satelit Eropah mengesan tumpahan minyak sepanjang 2 kilometer di Laut Mediterranean, sekitar 40 kilometer di tenggara kedudukan terakhir pesawat yang diketahui, menurut Agensi Angkasa Lepas Eropah.
Perdana Menteri Mesir, Sherif Ismail berkata adalah terlalu awal setakat ini untuk mengecualikan sebarang faktor yang mungkin menyebabkan pesawat malang itu terhempas.
Kementerian Penerbangan Awam Mesir berkata serangan pengganas lebih berkemungkinan menjadi punca nahas berbanding kegagalan teknikal, namun tidak memberikan sebarang bukti.
Meskipun mulanya militan yang pernah disyaki meletupkan sebuah lagi pesawat tujuh bulan lalu sebagai punca nahas, tiada kumpulan militan mengaku bertanggungjawab untuk kes terbaharu lebih 36 jam selepas insiden itu.
Stesen CNN semalam melaporkan bahawa data penerbangan daripada sistem automatik dipanggil Sistem Laporan dan Perhubungan Pesawat (ACARS) menyatakan, bahawa amaran asap dikeluarkan di pesawat sebelum terhempas.
ACARS secara kerap memuat turun data penerbangan ke syarikat penerbangan yang mengendalikan sesebuah pesawat. Sumber Amerika Syarikat memberitahu Reuters, mereka tidak dapat mengesahkan laporan CNN itu.
Namun kata mereka, satu sistem sensor elektronik mengesan sejenis gangguan di luar pesawat ketika ia mulai menjunam dan ia mungkin disebabkan pesawat itu dengan mendadak dan begitu pantas mula pecah.
Malah ia juga mungkin disebabkan kerosakan mekanikal, nahas atau letupan selain serangan berdasarkan data disampaikan ACARS kepada pengendali di darat, diterbitkan di laman jurnal penerbangan, AVHerald.com.
Ia menunjukkan ada kegagalan pada sistem kawalan pesawat dan amaran-amaran yang dikeluarkan berhubung asap dalam bilik air serta sistem avionik, hanya beberapa minit sebelum ia terhempas.
Petikan gambar yang disediakan daripada laman AVHerald.com tersebut hanya menunjukkan mesej-mesej ringkas dari pesawat seperti “SMOKE LAVATORY SMOKE.”
Para pegawai Amerika Syarikat bagaimanapun berkata mereka tidak boleh mengesahkan kesahihan data tersebut, sementara EgyptAir tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen secara rasmi.
Para militan menentang pemerintah Mesir sejak Abdel Fattah berjaya menggulingkan Presiden Mohammed Morsi, tokoh Ikhwanul Muslimin pada 2013 selepas kejatuhan pemerintahan Hosni Mubarak.
Pada Oktober tahun lalu, militan Daesh mengaku bertanggungjawab meletupkan sebuah pesawat komersial Rusia, yang meletup selepas berlepas dari kawasan resort pelancongan Mesir, Sharm Al-Sheikh.
Penyiasat Rusia percaya sebutir bom diseludup ke dalam pesawat berkenaan. Bagaimanapun untuk kes terbaharu kali ini, pesawat EgyptAir hilang sedang ia beralih dari kawalan ruang udara Greece ke Mesir.
Menteri Pertahanan Greece, Panos Kammenos berkata ia membelok secara mendadak dan menjunam 37,000 kaki hingga 15,000 kaki sebelum hilang daripada imbasan radar.
Para pegawai dari sejumlah agensi di Amerika Syarikat memberitahu agensi berita Reuters bahawa semakan terhadap imej-imej satelit setakat ini tidak mendapati sebarang tanda-tanda adanya satu letupan.
Mereka berkata Amerika Syarikat belum mengecualikan sebarang sebab bagi nahas itu, termasuk kegagalan mekanikal, pengganasan atau perbuatan sengaja oleh juruterbang atau kakitangan EgyptAir sendiri.
Khaled al-Gameel, ketua anak kapal di EgyptAir, berkata juruterbang pesawat berkenaan, Mahamed Saeed Ali Shouqair, ada pengalaman selama 15 tahun dan bertanggungjawab melatih ramai juruterbang lebih muda.
“Beliau dari keluarga juruterbang; pakciknya juruterbang pangkat tinggi di EgyptAir, sepupunya juga juruterbang. Beliau amat popular menyuraikan sendiri sebarang pertikaian antara rakan-rakan kerjanya,” kata Khaled.
Sebuah laman Facebook yang kelihatan milik Mahamed Saeed, memaparkan kritikan terhadap Ikhwanul Muslimin, berkongsi artikel-artikel yang menyokong Abdel Fattah dan gambar-gambar dirinya bercermin mata aviator.
Pesawat itu membawa 56 penumpang, termasuk seorang kanak-kanak dan dua bayi, serta 10 anak kapal. Mereka termasuk 30 warga Mesir sendiri, 15 warga Perancis dan rakyat dari 10 lagi negara. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA