KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Toh Puan Catherine Lim Cheng Neo, balu bekas Presiden MCA Tun Tan Siew Sin, di Xiao En Memorial Centre, Cheras, di sini.
Najib tiba di pusat itu pada 8.20 pagi dan berada kira-kira 20 minit untuk memberi penghormatan terakhir serta berjumpa anggota keluarga mendiang.
Antara yang turut hadir ialah Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Kedua, Datuk Seri Ong Ka Chuan dan Ketua Wanita MCA, Datuk Heng Seai Kie.
Menurut anak kedua mendiang, Datin Paduka Tan Siok Choo, ibunya menghembuskan nafas terakhir kira-kira 8.30 malam pada Selasa lepas di Institut Jantung Negara akibat serangan jantung.
Mendiang meninggal dunia pada usia 95 tahun dan meninggalkan tiga orang anak perempuan.
Berkongsi perasaan terharu atas kunjungan Najib hari ini, Tan berkata perdana menteri mengucapkan takziah dan menyifatkan ibunya sebagai seorang yang pemurah.
“Datuk Seri Najib berkongsi pengalaman ketika melawat ibu bapa saya di London sebelum ini dan beliau terharu kerana ibu saya mengalu-alukan kehadiran dan melayannya seperti keluarga sendiri,” katanya kepada pemberita.
Tan berkata jasad ibunya akan dibawa ke Melaka pada pukul 11 pagi untuk memberi peluang kepada saudara mara dan sahabat memberi penghormatan terakhir sebelum disempurnakan mengikut agama Kristian.
Jasad mendiang dijangka dikebumikan pada pukul 2.30 petang bersebelahan kubur suami mendiang.
“Ayah saya seorang Buddhist dan mak pula beragama Kristian, tetapi mereka setuju untuk disempurnakan mengikut agama masing-masing,” katanya.
Tun Tan Siew Sin pernah menjadi Menteri Kewangan selama 15 tahun dari 1959 hingga 1974 dan menjadi presiden MCA dari 1961 hingga 1974 kemudian meletak jawatan dalam kerajaan dan parti akibat masalah kesihatan.
Beliau meninggal dunia pada tahun 1988 ketika berusia 71 tahun. – BERNAMA