Hawaii – Seorang nelayan warga Colombia ditemui masih hidup selepas hanyut dalam sebuah bot kecil di satu kawasan terpencil di Lautan Pasifik selama dua bulan.
Nelayan berusia 29 tahun itu diselamatkan kapal kargo Panama, Nikkei Verde kira-kira 3,460 kilometer dari tenggara Hawaii pada 26 April lalu.
Ketika ditemui, lelaki itu dalam keadaan lemah dan dehidrasi, tetapi semakin sihat selepas dirawat kru kapal berkenaan.
Dia kemudian dipindahkan ke kapal Pengawal Pantai Amerika Syarikat (AS) di perairan Hawaii pada Rabu lalu sebelum dibawa ke Honolulu.
Lelaki yang tidak didedahkan identitinya itu berkata, dia hidup dengan makan ikan dan burung serta minum air hujan.
Bagaimanapun, tiga lagi rakannya meninggal dunia seorang demi seorang kerana sakit dan kekurangan makanan.
Katanya, mereka berempat keluar menangkap ikan dengan menaiki bot kecil sepanjang tujuh meter dari Colombia kira-kira dua bulan lalu.
Bagaimanapun, enjin bot mereka tiba-tiba rosak menyebabkan bot itu hanyut di lautan.
Jurucakap Pengawal Pantai AS, John MacKinnon berkata, lelaki itu sangat bertuah kerana ditemui di satu kawasan terpencil di Lautan Pasifik.
“Lautan Pasifik sangat luas dan sangat bahaya, semua pelaut menghormatinya,†katanya.
Pihak berkuasa AS tidak menyiasat kes itu kerana lelaki berkenaan bukan warganya dan mangsa akan dihantar pulang ke Colombia. – Agesnsi/myMetro Online