KASIH sayang tiada batas dan sempadan. Amanah dan tanggungjawab perlu dilaksanakan tanpa sebarang pengkhianatan.
Itu prinsip hidup Tan Guan Neo, 65, seorang penganut Buddha apabila diamanahkan menjaga cucunya Fariha Nabilah Isham yang beragama Islam.
Guan Neo atau Popo memiliki tiga anak beragama Islam. Sejak 20 tahun lalu, Popo diamanahkan menjaga Fariha ketika cucunya baru berusia empat bulan.
Apa yang menyentuh perasaan kita, ialah sikap amanah Popo dalam menjaga keperibadian cucunya sebagai seorang muslimah.
Seluruh rumah, serta gaya hidup Popo diubah menjadi mesra Islam kerana tidak mahu akidah dan persekitaran hidup cucunya sebagai muslimah tercemar.
Rumah Popo dibersihkan sepenuhnya supaya tiada satu pun benda yang haram dalam Islam.
“Saya pastikan tiada benda haram dalam Islam dalam rumah saya. Malah, saya pastikan setiap hari untuk mengantar cucu saya ke kelas mengaji Al-Quran ketika dia mula berusia 3 tahun,” kata Popo.
Selain memandu sendiri untuk menghantar Fariha ke tadika Kemas dan kelas Kafa, Popo turut memastikan semua bentuk didikan yang dimahukan anaknya, disempurnakan selagi Fariha di bawah jagaannya.
“Fariha khatam Quran tiga kali,” kata Popo.
Fariha yang kini berusia 21 tahun, dijaga dengan teliti agar sentiasa memenuhi kehendak ajaran Islam.
Malah, Popo sentiasa mengingatkan cucunya, supaya sedar sejak kecil bahawa neneknya seorang Buddha.
Fariha dan Popi muncul bersiaran secara live dalam program Assalamualaikum terbitan TV Alhijrah.
Bagi Fariha, pengalaman dipelihara dalam membesar dalam jagaan neneknya sebagai sesuatu yang sangat unik dan mengharukan.
“Sekarang pun, setelah berusia 21 tahun, Popo tetap akan membangunkan saya pada waktu sahur ketika bulan Ramadan,” katanya.
Fariha kini menuntut di UiTM turut bercerita, walaupun sudah dewasa, dia tetap pulang ke rumahnya neneknya kerana tidak tahan menanggung kerinduan.
Popo yang tinggal di Melaka, sangat tegas dalam mendidik Fariha. Cucunya akan dirotan sekiranya enggan atau lalai menunaikan solat.
“Sebagai cucu, saya ingin membawa Popo ke Makkah. Saya doakan Allah SWT berikan Popo Hidayah,” kata Fariha.
Kisah kasih-sayang seorang nenek penganut Buddha dan cucunya seorang Islam sesuatu yang menyentuh perasaan.
Semua kisah ini antara pengisian kempen #PenghijrahanFenomena TV Alhijrah #SegalanyaBermulaDiSini. – MYNEWSHUB.CC