UMURNYA sudah 87 tahun namun nenek ini masih menyimpan hasrat untuk memasuki pertandingan `Granny Bumbum’ bagi memilih nenek yang mempunyai punggung tercantik di Brazil.
Terezina Isen, yang sudah mempunyai cicit ini tidak malu untuk mempamerkan punggungnya dan memakai pakaian menjolok mata.
Kebiasaannya pertandingan Miss Bumbum hanya untuk wanita berusia 19 hingga 25 tahun dan pemenangnya akan menjadi selebriti di Brazil.
Tapi kali ini Terezina, yang telah menjalani rejim latihan dan diet yang ketat mahu memasuki pertandingan berkenaan.
“Saya hampir 90 tahun tetapi saya masih muda di luar dan dalam.
“Saya bukannya orang tua yang mempunyai punggung yang leper atau kulit berkedut. Saya masih tegang di semua bahagian,’’ katanya yang mendakwa menjadi gadis paling cantik di kampungnya ketika muda dulu.
Terezina, yang berasal dari Salvador, telah berkahwin pada usia 21 tahun dan suaminya telah meninggal selepas 42 tahun mereka hidup bersama.
“Suami saya tidak pernah membenarkan saya keluar bekerja atau berdikari. Saya menghabiskan masa dengan menjaga rumah dan anak-anak.
“Jadi apabila saya mendengar mereka mahu mengambil wanita seperti saya untuk Miss Bumbum, saya telah mendaftar,’’ katanya.
Terezina turut menyatakan memandangkan dia masih mempunyai badan yang cantik berbanding wanita tua yang lain maka dia mahu menunjukkan kepada ramai.
“Orang ramai selalu terperanjat apabila mereka mengetahui usia sebenar saya. Ramai yang menyangka saya berusia 60-an,’’ katanya. – MYNEWSHUB.CC