SINGAPURA – Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) tempatan, Persatuan Jamiyah Singapura berjaya menubuhkan Bank Makanan untuk mengelakkan pembaziran makanan, dalam usaha membantu lebih ramai golongan susah.
Menurut Menteri Sekitaran dan Sumber Air, Masagos Zulkifli, daya usaha NGO tersebut juga memastikan golongan berpendapatan rendah dapat meraih manfaat hasil pelbagai program bagi memperbaiki kehidupan mereka.
Agensi berita MediaCorp Singapura melaporkan, inisiatif Jamiyah tersebut susulan tahun lalu, lebih 785,000 tan sisa makanan dibuang di negara itu, dan ia dijangka terus naik seiringan dengan bertambahnya penduduk.
Ketika merasmikan bank makanan itu, Masagos berkata penubuhan bank tersebut menjadi contoh kepada NGO Melayu tempatan tentang apa yang boleh dilakukan oleh masyarakat Islam bagi faedah seluruh rakyat Singapura.
Menerusi Bank Makanan tersebut ujarnya, badan-badan korporat dan individu prihatin boleh mendermakan makanan halal kepada Jamiyah dengan kerjasama pelbagai NGO akar umbi dan masjid-masjid tempatan.
Barang makanan itu akan disimpan terlebih dahulu sebelum diagihkan terus kepada individu dan keluarga yang amat memerlukan bantuan di lima Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) ditetapkan oleh pihak berkuasa.
Ini merupakan Bank Makanan yang pertama seumpamanya diwujudkan sendiri oleh pihak NGO Islam di Singapura dan projek tersebut dikendalikan Community Outreach and Development Department (CODD) Jamiyah.
Pengarah CODD Jamiyah, Abdul Halim Aliman, berkata: “Sebelum ini kita agih hanya di satu tempat di Jamiyah. Namun mulai sekarang kita boleh agih di merata Singapura supaya mereka tidak perlu jalan jauh lagi ke Jamiyah.
“Jadi kita mampu mendekati mereka secara langsung demi memastikan golongan ini dapat dibantu. Melalui konsep unik Bank Makanan ini juga lebih banyak mereka yang memerlukan dapat kita dekati untuk kita segera tolong.”
Projek pengagihan makanan sebenarnya sudah dijalankan Jamiyah sejak 1974 lagi dengan kira-kira 300 keluarga kini meraih manfaatnya. NGO ditubuhkan pada 1932 itu memiliki ibu pejabat setinggi tujuh tingkat di Geylang.
Dengan ada bantuan bekalan makanan, Jamiyah berharap golongan susah kini boleh memberi banyak tumpuan kepada usaha meningkatkan kemahiran dan memperbaiki kehidupan mereka sendiri dalam jangka masa panjang.
– Agensi/Mynewshub.cc/HAA