SEORANG wanita di India nyaris maut akibat tabiat memakan rambutnya sendiri.
Wanita yang tidak didedahkan identitinya itu, disahkan kronik hingga terpaksa menjalani pembedahan di bahagian perut sebelum doktor menemui gumpalan rambut seberat 3 kilogram di dalam ususnya.
Menyifatkan ia sebagai penyakit yang amat jarang ditemui, wanita berusia 31 tahun itu menghidap sindrom Rapunzel iaitu sejenis ketagihan mengunyah gumpalan rambut.
Ketagihananya itu turut menyebabkan dia hilang selera makan, dan muntah apabila dipaksa untuk makan selain sering mengadu lemah badan.
Metro.co.uk melaporkan pakar bedah di Hospital Chandigarh, Dr. Hardeep Singh memberitahu wanita itu mengamalkan tabiat pelik makan rambut sejak berusia 9 tahun, sekaligus bermakna lebih dua dekad gumpalan rambut sudah berada dalam perutnya.
“Berdasarkan hasil pembedahan, kami andaikan bahawa dia memakan terlalu banyak gumpalan rambut sehingga hadapi kesukaran untuk minum air.
“Ketagihan memakan rambut juga boleh dikategorikan seakan ‘dadah’ disebabkan hampir 22 tahun dia bergelumang dengan tabiat pelik itu,” katanya.
Wanita itu kini dilaporkan dalam proses penyembuhan selepas pembedahan dan bakal dirujuk ke pakar psikologi untuk membantunya menangani masalah tersebut. – MYNEWSHUB .CC