SEORANG pegawai polis di Detroit, Amerika Syarikat menerima pujian setelah menghantarkan piza ke rumah pelanggan ekoran pemandu penghantaran piza tersebut cedera dalam kemalangan jalan raya.
Polis tersebut, Joe Sparks memberitahu pemberita tempatan bahawa dalam kemalangan yang berlaku pada Isnin minggu lalu, seorang pemandu Jet Pizza dikejarkan ke hospital kerana mengalami kecederaan di kepala dan lebam-lebam di tubuhnya.
Sparks yang ditugaskan untuk menguruskan kemalangan itu ternampak sebuah beg mengandungi pizza dalam kereta penghantar milik syarikat piza tersebut.
Kereta itu remuk teruk dan Sparks kemudian telah menjumpai alamat penghantaran yang terletak berhampiran dengan kawasan kemalangan itu berlaku.
Sparks yang sudah berkhidmat selama 16 tahun berkata dia memgambil keputusan untuk menghantar piza tersebut kerana ia perkara yang wajar dilakukan ketika itu.
“Ada seseorang yang sedang menunggu hidangan mereka tiba,” katanya.
Carl Babik yang menerima piza itu kemudian mengakui pada mulanya berasa terkejut kerana menyangka ada sesuatu yang tidak kena apabila pegawai polis datang ke rumah.
Dan kemudian dia berasa lega kerana Sparks hanya menghantar piza yang ditempah olehnya. – MYNEWSHUB.CC