KUALA LUMPUR – Seorang pemandu teksi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merogol seorang pelajar kolej swasta warga Filipina, bulan lepas.
Abd Ghani Abd Karim, 41, didakwa merogol wanita berusia 41 tahun itu di sebuah hotel di Jalan Lingkaran Syed Putra, Brickfields, di sini pada 1.15 pagi, 16 April lepas.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(2)(b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Liyana Zawani Mohd Radzi tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin, namun, Abd Ghani yang diwakili peguam V. Ravi, memohon mahkamah memberi jaminan yang minimum.
Hakim Datin M. Kunasundary tidak membenarkan tertuduh diikat jamin kerana penjamin tidak hadir ke mahkamah dan menetapkan 19 Mei depan untuk sebutan semula kes. – BERNAMA