SEORANG pemandu Uber dari London, Mohamed Mohamoud, 51, didenda sebanyak £1,550 (RM8,874.25) selepas menolak untuk mengambil seorang penumpang buta yang membawa sekali anjing peliharaannya.
Mohamed enggan menumpangkan Jade kerana wanita itu membawa sekali anjingnya, Brodie yang sentiasa dibawa ke mana sahaja sebagai pemandu arah.
Dalam hujahnya Jade menceritakan dia mengambil perkhidmatan Uber selepas selesai menonton konsert bersama kawannya yang juga buta, Vanessa Smith.
Ketika menghubungi Mohamed, Jade memaklumkan dia turut membawa sekali anjing namun pemandu itu menolak dan mengatakan dia tidak membawa haiwan peliharaan dalam keretanya.
“Saya beritahu ada anjing yang akan naik bersama saya. Namun dia membalas, tidak menerima binatang peliharaan.
“Brodie bukan hanya haiwan peliharaan malah dia merupakan anjing yang berkhidmat buat saya. Dia merupakan ‘mata’ saya,” jelas Jade.
Selepas penolakan Mohamed, Jade terus melaporkan hal itu kepada Uber.
Susulan kejadian itu, Uber telah memohon maaf dan menyatakan Mohamed tidak lagi berkhidmat di bawah syarikat yang menggunakan aplikasi telefon sebagai salah satu cara komunikasi antara pemandu dan penumpang itu. – MYNEWSHUB.CC