KUALA LUMPUR – Pemuda Parti Amanah Negara (PAN) telah memulakan gerak kerja jentera pilihan rayanya bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar dan Sungai Besar.
Ketuanya, Sany Hamzan berkata, kesemua ahli Pemuda PAN telah dari seluruh negara telah digerakkan bagi tujuan itu.
Beliau turut memaklumkan akan mengadakan satu mesyuarat dalam masa terdekat untuk menyelaraskan jentera Pemuda Pakatan Harapan pula.
“Persiapan dan gerak kerja awal penting memandangkan PAN/Pakatan Harapan bakal berdepan jentera Barisan Nasional (BN),” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Pengumuman beliau itu sekali gus mengesahkan bahawa PAN akan tetap bertanding dalam PRK terbabit.
PAS baru-baru ini menegaskan parti itu akan tetap bertanding dalam PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar meskipun dipujuk supaya berundur oleh Pakatan Harapan.
Pakatan Harapan dianggotai oleh DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAN. – Mynewshub.cc