PASTINYA ramai gempar menyaksikan pengacara televisyen disuruh mengenakan kardigan sewaktu siaran langsung susulan pihak stesen TV itu menerima banyak aduan berkaitan baju yang dipakai dikatakan tidak sesuai.
Liberte Chan merupakan pengacara bagi stesen KTLA diarah mengenakan kardigan berwarna kelabu sewaktu ke udara semasa meyampaikan laporan kaji cuaca pada Sabtu lalu mencetuskan banyak persoalan menarik.
Apabila Chan bertanya kenapa dia disuruh untuk memakai kardigan tersebut, salah seorang kakitangan yang berada di belakang tabir iaitu Chris Burrous memberi alasan: “Kita sedang menerima banyak e-mel kritikan.â€Â
Menurut Burrous, segelintir penontonnya menyatakan bahawa mereka tidak berkenan dengan penampilan Chan yang tampil mendedahkan bahagian lengannya sewaktu siaran langsung tersebut.
Penyampai laporan cuaca tersebut yang agak seksi itu kemudian memakai kardigan diberikan sebelum menghabiskan laporan cuacanya dalam keadaan terpinga-pinga.
Menerusi laman Twitternya, Chan berkata dia pada mulanya memakai pakaian yang lain. Namun dia terpaksa menukar kerana gaun bercorak itu kebetulan tidak sesuai pula untuk latar belakang studio mereka.
Ekoran daripada insiden itu, klip video itu menjadi viral dan mencetuskan perdebatan dalam kalangan netizen berkenaan situasi sexism di tempat kerja.
Rata-rata netizen mengkritik stesen TV itu atas tindakan yang dilakukan terhadap Chan sebagai memalukannya. Malah netizen turut menggesa KTLA untuk memohon maaf secara terbuka kepada Chan.
Namun Chan melalui blognya tampil mempertahankan stesen TV itu, bahawa dia tidak dipaksa untuk memakai kardigan itu malah sempat berjenaka apabila disuruh mengenakan baju itu.
Dengan jujur Chan malah menyatakan bahawa dia sangat sukakan pekerjaannya itu. – MYNEWSHUB.CC