NAMANYA menjadi hangat baru-baru ini gara-gara komen ‘pedasnya’ terhadap beberapa selebriti tempatan yang menyertai program nyanyian anjuran sebuah stesen televisyen swasta.
Namun menurut empunya nama Fauziah Datuk Ahmad Daud atau lebih dikenali sebagai Ogy, sebagai pengkritik dia harus bercakap jujur untuk sesuatu tugas yang diamanahkan kepadanya.
“Saya yang duduk di kerusi pengkritik harus bercakap jujur. saya diberikan tanggungjawab dan amanah. Jadi, saya tidak boleh menipu atau bersikap hipokrit.
“Terus terang saya katakan, orang seperti itu tidak mahu menerima sebarang anjakan paradigma dalam diri mereka.
“Jika pintu hati ditutup untuk menerima segala teguran, mereka hanya akan berada di takuk sama. Kalau saya boleh berubah dari kosong, takkan mereka tidak boleh.
“Jadi, semua itu berbalik kepada diri sendiri. Mahu berjaya atau tidak, ia pilihan masing-masing,” katanya memetik Harian Metro.
Disebabkan kritikan lantangnya itu, nama Ogy sering kali dicaci sebahagian peminat dan penonton yang tidak gemarkan komen yang keluar daripada mulutnya.
Namun, menurut Ogy dia langsung tidak terkesan kata-kata hinaan yang dikeluarkan oleh mereka terhadapnya kerana sudah dididik untuk menjadi kuat sepanjang bergelar anak seni.
“Sedikit pun tidak pernah terdetik perasaan itu. Ini kerana minda dan mental saya sudah dididik untuk menjadi anak seni yang kuat.
“Saya sentiasa berkeyakinan penuh yang saya sudah menjalankan tugas dan tanggungjawab diberikan. Lagipun saya pernah melalui perkara yang lebih teruk berbanding kebanyakan artis sekarang.
“Saya tidak pernah nak terasa hati atau melenting dengan guru dan senior saya. Apa yang saya fikir adalah untuk berjaya, perlu menempuhi pelbagai cabaran dan dugaan,” jelasnya lagi.
Baru-baru ini, beberapa selebriti yang dikritik hebat menerusi program yang dijurui Ogy mengeluarkan kata-kata bahawa mereka sedikit terguris dengan teguran juri.
Tidak menamakan Ogy, Izreen Azminda berkata dia merasa sedikit terguris dan sedikit tekanan menerusi komen yang diberikan juri seolah-olah membunuh mereka.
Sementara itu, kerjaya Ogy yang terlibat selama lebih 30 tahun dalam bidang seni akhirnya diiktiraf sebagai penerima Anugerah Khas Pencapaian Sepanjang Hayat Anugerah Bintang Popular ke-29 yang diadakan baru-baru ini.
Ketika ditanya apakah faktor yang membuatkan dirinya masih menerima tawaran menjadi juri atau pengkritik, Ogy menjelaskan, “Saya percaya kritikan saya masih ada nilai. Pada masa sama, saya mahu berkongsi ilmu dengan adik-adik saya dalam industri hiburan.
“Terbabit dalam program sebegini adalah gelanggang terbaik untuk saya mencurahkan ilmu kepada mereka. Niat saya jelas, jadi terpulang kepada peserta itu mahu menerima atau sebaliknya. Ingin saya tegaskan, tak perlu takut atau terasa hati dengan saya, malah tidak pernah pun saya meletakkan diri hebat,” ulasnya lagi.
Ogy, 53, terkenal menerusi filem malar segar Ali Setan dan Azura merupakan anak kepada pasangan seniman dan seniwati, Allahyarham Datuk Ahmad Daud dan Datin Saadiah. – MYNEWSHUB.CC
Bercakap jujur tidak semestinya kena guna ayat KASAR atau PEDAS..biar santun berbicara…