MELAKA: Penjaga gol simpanan pasukan bola sepak Melaka United, Marco Stefan Petrovski, 18, disahkan meninggal dunia oleh Presiden Persatuan Melaka United Soccer Association (MUSA) di hospital swasta Jalan Bendahari, kira-kira jam 3.20 petang semalam.
Petrovski sebelum ini dimasukkan ke hospital akibat disambar petir ketika menjalani latihan skuad Piala Presiden 2016 di Padang Krubong pada 5 April lalu dan tidak menyedarkan dirinya selepas kejadian tersebut.
Ketika kejadian berlaku, pemain itu sedang menjalani latihan bersama 27 pemain lain di padang berkenaan bermula jam 4 petang sebelum hujan lebat menyebabkan latihan terpaksa ditangguhkan.
Bapanya, Marjan Petrovski dan ibunya Maria Lupang tiba di Malaysia pada 7 April lalu setelah menerima berita mengenai kejadian yang menimpa anaknya itu. -MYNEWSHUB.CC