PUTRAJAYA – Trend jualan akhbar merosot susulan amalan membaca makin terhakis khasnya anak muda Melayu dibimbangi Persatuan Perdagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA).
Dalam satu kenyataan media hari ini, persatuan itu menganggap amalan kurang membaca akhbar hanya membawa banyak kesan buruk kepada rakyat sendiri untuk jangka masa yang panjang khususnya golongan remaja Melayu.
Situasi ini ujar PERDASAMA amat membimbangkan apabila dilihat budaya membaca akhbar makin merosot kesan sikap kebergantungan dengan maklumat melalui penggunaan alat komunikasi seperti komputer dan telefon pintar.
“Tidak dinafikan penggunaan alat ini membantu masyarakat untuk menerima pelbagai infomasi dengan lebih pantas namun ia harus seimbang supaya sumber informasi tersebut sahih dan relevan untuk pengetahuan umum.
“PERDASAMA yakin sehingga kini, akhbar masih menjadi bahan bacaan bagi pelajar sekolah untuk meningkatkan mutu bahasa bukan hanya digunakan sebagai rujukan bagi penulisan bahasa Inggeris malah bahasa Malaysia.
“Jika tidak membaca akhbar, PERDASAMA pasti golongan muda akan ketinggalan. Akhbar Inggeris memberi manfaat dalam penggunaan bahasa Inggeris dan akhbar Melayu pula untuk pemantapan bahasa rasmi negara,” katanya.
Kenyataan PERDASAMA itu dikeluarkan menjelang acara berprestij Hadiah Kewartawanan Malaysia 2016 sempena Malam Wartawan Malaysia 2016 anjuran Institut Akhbar Malaysia dan Petronas di Kuala Lumpur pada 20 Mei ini.
Acara tahunan tersebut bakal dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang akan menyampaikan Anugerah Kajai bernilai RM30,000 untuk pemenang hadiah utama laporan berita terbaik.
Mengulas lanjut PERDASAMA berkata, akhbar ada kekuatannya tersendiri dan tidak harus dijadikan bahan bacaan ‘lapuk’ dengan hanya mengejar kecanggihan teknologi digital yang tiada ‘kekayaan’ bahasa untuk pembelajaran.
“Secara tidak sedar, kesannya bukan terhadap penggunaan kualiti bahasa, malah memberi faedah informasi terkini dan sahih kepada pembaca seterusnya nilai positif  corak pembangunan masyarakat generasi akan datang,” katanya.
PERDASAMA juga ingin meluahkan rasa kebimbangan terhadap penggunaan alat komunikasi ini yang disebut ‘dunia tanpa sempadan’ dan mampu mengganggu pertumbuhan golongan muda jika tidak dikawal penggunaannya.
Perkara sebegini katanya, dilihat sangat serius kini kerana dibimbangi penggunaan teknologi itu hanya memberi kesan buruk kepada masyarakat seterusnya kepada negara jika maklumat tidak sahih disebarkan tanpa usul periksa.
“Jika dikaji sejarah akhbar di negara ini memberi sumbangan besar terhadap perjuangan rakyat terutama sebelum merdeka. Menganggap akhbar sebagai ketinggalan zaman adalah merugikan dan memundurkan ilmu,” katanya.
PERDASAMA mendakwa pengurangan jualan akhbar sehingga 30 peratus dilihat memberi kesan dan isu itu harus ditangani sebelum akhbar pupus ketika masyarakat masih ada kuasa memilih akhbar sesuai dengan tema tersendiri.
Secara kebetulan kenyataan PERDASAMA ini dikeluarkan menjelang pengumuman rasmi laporan separuh tahunan kedua 2015 untuk edaran akhbar tempatan oleh Audit Bureau of Circulations Malaysia (ABCM) akhir bulan ini.
Pada separuh tahunan pertama, ABCM menyenaraikan Mingguan Malaysia terbitan Kumpulan Utusan sebagai akhbar berbahasa Melayu paling laris di negara ini dengan purata setiap keluaran mencatat jualan 340,953 naskhah.
Secara am edaran akhbar jatuh untuk tahun keempat berturut-turut dengan paling ketara Harian Metro dan Metro Ahad selain Berita Harian dan BH Ahad manakala Utusan Malaysia dan Kosmo!/Kosmo Ahad masih lagi stabil.
Fenomena ini turut direkodkan di serata dunia termasuk di negara-negara maju yang menyaksikan ada akhbar utama dikecilkan saiz daripada broadsheet kepada tabloid selain menceburi perkhidmatan atas talian atau e-paper. – Mynewshub.cc/HAA