KUALA LUMPUR – Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) menyelar tindakan Ahli Parlimen DAP Segambut, Lim Lip Eng yang seolah-olah mahu mensabotaj industri pelancongan dengan mendakwa kononnya Kuala Lumpur sebuah bandar yang tidak selamat.
Presidennya, Datuk Hamzah Rahmat berkata, kenyataan Ahli Parlimen pembangkang itu bakal menjejaskan kepentingan industri pelancongan yang memberi impak tinggi kepada sektor ekonomi di ibu negara selama ini.
“Beliau menyedari sektor pelancongan sangat penting kepada ekonomi negara tetapi sanggup membenarkan agenda sempitnya mengatasi kepentingan negara.
“Tahun lepas, 11 juta pelancong asing melawat Kuala Lumpur dan kami menjangkakan 12 juta tahun ini. Apakah Ahli Parlimen Segambut cuba mempersendakan pelancong yang datang ke sebuah bandar yang tidak selamat ini?
“Bagaimana pula dengan jutaan rakyat Malaysia dan warga asing terus tinggal di Kuala Lumpur dan bukannya di tempat lain? Boleh Kuala Lumpur dibuktikan tidak selamat oleh apa-apa fakta atau angka yang lain?” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Justeru, Hamzah menyelar dakwaan Lip Eng itu yang hanya bersandarkan kepada satu tinjauan ke atas 1,000 orang sama ada mereka berasa selamat berada ibu negara.
Beliau tidak menafikan setiap manusia mahu berasa mahu berasa sangat selamat tetapi tindakan Ahli Parlimen pembangkang cuba mengambil kesempatan dengan menyatakan Kuala Lumpur tidak selamat bersifat murahan dan tidak bertanggungjawab.
Tegas beliau, ramai pelancong akan berasa bimbang dengan dakwaan Ahli Parlimen itu yang tidak bersifat patriotik maka beliau selaku Presiden MATTA bertanggungjawab untuk menyanggah dakwaan berkenaan.
“Tiada siapa berpuas hati dengan tahap keselamatan di mana-mana tempat di dunia ini. Jika mahu memastikan bandar kita selamat maka perlu bekerjasama. Kita mengundi Ahli Parlimen di tempat kita untuk menjadi penggubal undang-undang tetapi jika mereka terus tidak efektif kita akan menderita.
“Nasihat yang tidak tepat oleh ahli politik semata-mata mahu meraih keuntungan dengan mempergunakan rakyat adalah perkara terakhir yang kita perlukan,” katanya. – mynewshub.cc