KUCHING – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor menziarahi jenazah Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Allahyarhaah Datuk Noriah Kasnon, di Hospital Umum Sarawak (HUS) di sini, hari ini.
Najib dan Rosmah turut menyampaikan ucapan takziah kepada anggota keluarga Allahyarhamah.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim turut menziarahi jenazah allahyarhamah di hospital itu.
Terdahulu, jenazah Allahyarhamah diterbangkan dari kawasan tragedi di Sebuyau ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di sini sebelum dibawa ke hospital itu.
Selain Noriah, suaminya Asmuni Abdullah dan Anggota Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, yang juga Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) turut menaiki helikopter itu.
Turut berada di dalam pesawat itu ialah Ketua Setiausaha, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Sundaran Annamalai; pengawal peribadi Noriah, Ahmad Sobri Harun dan juruterbang warga Filipina, Rudolf Rex Ragas.
Helikopter jenis Eurocopter AS350 itu adalah dalam penerbangan dari Betong pada 4.12 petang menghala ke Kuching sebelum tragedi itu berlaku.
Noriah berada di Betong untuk menjalankan tugas-tugas berkaitan kementeriannya semasa pilihan raya negeri ini. – BERNAMA