KUALA KANGSAR – Calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil (PRK) Kuala Kangsar bulan depan, Datin Mastura Mohd Yazid menepati semua lima elemen yang ditetapkan oleh parti termasuk seorang yang profesional.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata selain itu pemilihan Mastura juga dibuat kerana beliau sangat memahami faktor muka bumi Kuala Kangsar di samping mesra dengan masyarakat.
“Calon juga faham mengenai parti (UMNO dan BN) dan tidak akan menyanggah kepimpinan bahagian. Kita juga mahu memberi keutamaan kepada tulang belakang kita (Pergerakan Wanita UMNO),” katanya pada majlis pengumuman calon BN dan pelancaran jentera BN bagi PRK Kuala Kangsar di sini hari Sabtu.
Mastura, 55, merupakan balu kepada Anggota Parlimen sebelum ini Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad yang meninggal dunia dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lalu.
Ibu kepada empat anak itu merupakan seorang graduan undang-undang universiti terkemuka perundangan dunia Lincoln’s Inn di United Kingdom dan bertugas sebagai seorang peguam selama enam tahun.
Selain itu, beliau juga bergiat cergas dalam dunia politik dan menjadi Anggota Jawatankuasa UMNO Bahagian Chembong, Negeri Sembilan sebelum mengambil keputusan untuk berehat dan menumpukan kepada keluarga serta arwah suaminya.
Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO meminta semua pihak dalam parti supaya memberi sokongan padu kepada Mastura untuk memastikan BN dapat mengekalkan kerusi Parlimen Kuala Kangsar.
“Lawan kita (PAS) letak seorang profesional juga seorang wanita, maka kita juga harus cari seorang profesional.
“Kita bukan maksum, tentunya ada kelemahan. Maka calon yang dipilih itu adalah calon BN, tiada dakwa dakwi (pelbagai aduan dan tuduhan) dalam kalangan kita.
“Kalau ada yang kecil hati sama ada kepimpinan sedia ada atau mantan kepimpinan sebelum ini..lupakan.. dan kita berdiri sama-sama menyokong calon,” katanya.
Menjelas lanjut, Ahmad Zahid berkata pemilihan calon juga dibuat bagi memastikan kesinambungan pembangunan yang pernah dirancang dan dilaksanakan oleh Wan Mohammad Khair-il sebelum ini dapat diteruskan.
Timbalan Perdana Menteri berkata kesinambungan kemajuan di Kuala Kangsar perlu diteruskan dengan berteraskan politik pembangunan dan bukannya pembangunan moden semata-mata selari dengan gelarannya sebagai Bandar Diraja.
“Kita harus bangunkan Bandar Diraja ini. Tentunya bila kita mahu melihat sesuatu yang ada kesinambungan, maka perlu ada tua, muda, wanita dan lelaki.
“Kita tahu orang muda di Kuala Kangsar ini ada 36 peratus (daripada 32,949 pemilih berdaftar), maka citarasa mereka perlu diterjemahkan dalam bentuk aktiviti projek pembangunan,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK Parlimen Kuala Kangsar pada 18 Jun, manakala penamaan calon pada 5 Jun.
PRK Kuala Kangsar mungkin menyaksikan pertandingan lebih daripada satu lawan satu apabila Parti Amanah Negara (Amanah) dijangka mengumumkan calonnya pada 1 Jun.
Semalam, PAS mengumumkan Ketua Dewan Muslimat PAS Perak Dr Najihatussalehah Ahmad sebagai calon parti itu dalam PRK Kuala Kangsar. – BERNAMA