KUCHING – Menyedari kempen politik pembangkang secara ceramah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-11 kali ini memang hambar, taktik serangan menerusi alam maya pula menjadi ‘senjata’ untuk menghasut pengundi.
Bagi sesiapa yang rajin meninjau laman siber rasmi parti antikerajaan atau portal propembangkang, laporan berat sebelah mereka bukan sahaja lucu, malah ada kala berbaur fitnah dan hina penduduk Sarawak secara tersirat.
Ia tetap disebarkan begitu luas konon untuk mendedahkan ada rakyat bumi kenyalang masih lagi terpaksa hidup mundur ketinggalan daripada arus perdana sehingga ada yang mempercayainya tanpa melakukan usul periksa.
Cara olahan ayat disiarkan pentadbir laman tersebut memang jelas bagi membangkitkan perasaan kebencian rakyat khasnya pengundi ‘atas pagar’ terhadap Barisan Nasional (BN) konon tidak prihatin dengan rakyat miskin.
Terbaharu dan menjadi viral sepanjang PRN kali ini ialah penyebaran gambar eksklusif yang menunjukkan rumah satu keluarga pedalaman konon terpaksa dibina di atas pokok ekoran kezaliman oleh pihak kerajaan BN Sarawak.
Ramai netizen tempatan termasuk di Sarawak sendiri dilaporkan percaya habis dengan foto eksotik itu sekali gus menggambarkan kehebatan tentera siber pembangkang bermain persepsi imej dan memutar belit kisah sebenar.
Hakikatnya gambar itu dirakamkan di Hulu Mabul, pedalaman Papua New Guinea yang jaraknya lebih 4,000 kilometer dari ibu negeri Sarawak dan merupakan suku kaum Koroway Batu atau Kombai di pulau tersebut.
Penempatan etnik itu menjadi tarikan utama pelancong asing untuk merasai pengalaman bermalam di hutan tebal dan lazimnya rumah atas pokok tersebut hanya ada dua atau tiga buah dalam sesebuah kampung berkenaan.
Terbuktilah perang saraf DAP ‘kantoi’ bahkan bagi yang pernah berkunjung ke rumah panjang masyarakat hulu, kediaman mereka itu sebenarnya cukup selesa, serba moden dan lengkap dengan segala kemudahan asas. – Mynewshub.cc/HAA
#PRNSARAWAK