KUCHING – Ibarat ibu ayam baru bertelur sebiji tetapi riuh sekampung. Mungkin itulah yang boleh digambarkan kepada DAP apabila memuat naik gambar kejayaan mereka konon membina sebatang jalan kecil di Sarawak.
Menerusi posting di laman sosial Facebook rasmi DAP Sarawak pada 30 April lalu, parti berasal dari Semenanjung itu menceritakan perkara unik tersebut yang menerima hampir 500 tanda suka dan hampir 1,000 perkongsian.
Dalam catatan pada laman berkenaan, pentadbir laman pembangkang negeri itu menyatakan projek jalan kecil sepanjang tiga kilometer tersebut adalah di bawah inisiatif program Impian Sarawak parti itu pada 2014 lalu.
Mereka mendakwa kononnya jalan tersebut bernilai RM140,000 mengambil masa 2 bulan untuk disiapkan dengan bantuan sepasukan 53 sukarelawan serta dikatakan memberi manfaat perhubungan darat kepada 80 isirumah.
Peliknya, tinjauan carian Mynewshub terhadap kerusi N.19 yang didakwa parti itu mendapati tidak ada wujud nama calon dinyatakan DAP di kawasan tersebut malah maklumat disiarkan juga agak meragukan dari segi logik.
Untuk makluman, kerusi N.19 Mambong pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini menyaksikan empat penjuru antara calon Barisan Nasional, Datuk Dr. Jerip Susil menentang masing-masing calon dari DAP, PKR dan PBDS.
Lebih syak tanda tanya, jika merujuk keputusan PRN ke-10 pada 2011 lalu, nama calon itupun tidak wujud di kerusi N.19 Kedup atau nama lama merujuk Mambong iaitu kerusi N.16 Bengoh sebelum persempadanan semula.
Pedulikanlah calon DAP itu wujud atau hantu sekali pun, projek kelolaan parti itu memang diketahui ramai namun ia menjadi bahan jenaka kerana kualiti jalan amat teruk dan terpaksa dibaik pulih semula oleh kerajaan negeri.
Niat tersirat DAP yang mempromosikan pembinaan prasarana pedalaman itu sebenarnya hanya untuk meraih kepentingan politik dan memburukkan BN sebagai konon tidak prihatin masalah rakyat miskin di luar bandar.
Seperti kata Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem, projek Impian Sarawak anjuran DAP itu macam ayam bertelur sebiji riuh sekampung dibandingkan ribuan projek awam BN di seluruh negeri yang dibuat tanpa publisiti. – Mynewshub.cc/HAA
#PRNSARAWAK