KUCHING – “Jangan sesekali mengundi cucu saya sendiri, Aziz Isa yang mewakili DAP tetapi anda undilah calon Barisan Nasional (BN) untuk menang di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kitang.”
Begitulah kata-kata Hajah Mazuin atau mesra disebut Nek Wen, iaitu nenek calon DAP untuk N.13 itu, Abdul Aziz Isa Maridon semasa ‘turun padang’ sanggup berkempen dengan calon BN, Lo Khere Chiang di kawasan tersebut.
“Saya sekali lagi merayu agar masyarakat tempatan di DUN Batu Kitang untuk tidak mengundi cucu saya,” kata beliau secara terbuka ketika ditemui pada program BN di Kampung Haji Baki di sini.
Kenyataan berani Nek Wen itu mencetuskan banyak persoalan menarik mengenai hubungan kekeluargaan Abdul Aziz Isa dengan saudara maranya sendiri susulan tindakan DAP menamakan anak muda itu di Batu Kitang.
Ada kalangan penduduk ditemui hairan bagaimana nenek atau darah dagingnya sendiri berkempen menentang Abdul Aziz Isa? Sampai begitu sekali pembantu Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen tergamak berpolitik?
Secara tersirat, bagi umat Islam yang melihat isu ini dari sudut agama pasti tertanya-tanya apakah dosa Abdul Aziz Isa kepada nendanya sehingga wanita berusia emas tersebut sendiri perlu melafazkan kata-kata sedemikian?
Mynewshub dimaklumkan bahawa Nek Wen malah tidak redha dengan cara Abdul Aziz berkempen yang begitu kasar, kurang ajar dan keterlaluan menghina biadap pemimpin BN lain serta jauh lebih tua daripada usianya.
Untuk rekod, Abdul Aziz Isa, 26; sepatutnya bertanding satu lawan satu di kerusi baharu majoriti Melayu iaitu N.17 Stakan, untuk menentang calon BN yang juga datuk saudaranya sendiri, Datuk Seri Mohamad Ali Mahmud.
Beliau yang pindah dari kerusi Muara Tuang susulan persempadanan semula, sebaliknya melawan Leslie Ting Xiang Zhi mewakili DAP, sesuatu dianggap cukup aneh untuk kawasan 14,846 pengundinya bumiputera Islam.
Tindakan DAP meletakkan Abdul Aziz Isa di kerusi baharu Batu Kitang sebagai strategi politik kerana mahu memastikan anak emas parti itu menang di kawasan majoriti Cina yang mempunyai 17,494 pengundi berdaftar.
Ini menyaksikan persaingan kerusi itu berlaku pertindihan calon dengan sekutunya dari PKR, Voon Shiak Ni yang dianggap cukup lemah, selain BN diwakili oleh Khere Chiang serta kemunculan dua orang lagi calon bebas.
Demi menutup aib tidak dapat bertanding di kawasan Melayu, Abdul Aziz Isa dalam setiap ceramah kempennya mendakwa konon mewakili semua kaum dan mencabar Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem menentangnya pula.
Walhal dia terlupa bakal ditumbangkan oleh masyarakat Melayu di Stakan yang mengetahui secara terperinci latar belakang kehidupan bebas dirinya selain amat liberal jauh daripada pegangan amalan agamanya sendiri. – Mynewshub.cc/HAA
#PRNSARAWAK