KUANTAN – Kelemahan benteng pertahanan Pahang telah mengakibatkan pasukan itu dihukum dengan kekalahan besar 0-6 ketika bertemu JDT di halaman sendiri malam tadi.
Ketua Jurulatih Pahang, Razip Ismail berkata beliau amat kecewa dengan persembahan yang dipamerkan oleh para pemain di posisi itu yang dilihat terlalu banyak melakukan kesilapan.
“Pada awal minit pertama, kita bermula dengan baik tetapi apa yang mengecewakan malam ini ialah cara kita bertahan.
“Enam gol dijaringkan pihak lawan adalah berpunca daripada kelemahan barisan pertahanan tetapi kesalahan bukan sahaja dipikul oleh empat pemain pertahanan bahkan kesemua mereka.
“Di Johor Baharu tempoh hari kita masih boleh bertahan tetapi di halaman sendiri kita tidak mampu. Saya tidak tahu apa punca sehingga begitu banyak kesilapan dilakukan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan di Stadium Darul Makmur di sini, malam tadi.
Razip berkata kekalahan besar yang dialami perlu diambil iktibar dan diperbaiki oleh pasukan dalam usaha mengekalkan skuad Tok Gajah dalam kancah Liga Super musim depan.
“Dalam tempoh rehat selepas ini kita akan gunakan sebaik-baiknya untuk meningkatkan segalanya termasuk kecergasan.
“Saya amat berharap pemain dapat berubah dan meningkatkan prestasi bagi memperbaiki kedudukan dalam liga.
“Kalau terus bermain seperti ini pada pusingan kedua, kita mungkin kalah lebih teruk dan tidak kekal dalam Liga Super musim hadapan,” katanya. – BERNAMA