BAGI sesetengah orang, gambar lama merupakan satu pengalaman ngeri yang tidak mahu dilihat atau dikongsi, namun berbeza pula dengan seorang anak muda ini yang telah merakam gambar selfienya sejak berusia 12 tahun sehinggalah usianya mencecah 20 tahun.
Hugo Cornellier, dari Montreal, Canada, telah mengambil gambar sendiri (selfie) setiap hari selama lapan tahun dan dijadikan klip video untuk melihat perubahan yang berlaku ke atas wajahnya.
Melalui klip video yang berdurasi 2 minit itu, jelas kelihatan perubahan wajah yang berlaku pada Hugo dari seorang yang tidak memiliki jambang sehinggalah berjambang. Malah beberapa gaya rambut turut juga mengalami perubahan selama lapan tahun itu.
Hugo telah memuat naik klip video itu ke laman YouTube miliknya dan telah menerima lebih daripada 2 juta tontonan selepas dimuat naik tahun lalu.
“Saya sangat teruja kerana akhirnya berjaya menunjukkan hasil yang telah saya usahakan,” kata Hugo.
Menurut Hugo kepada sebuah portal, dia mendapat inspirasi itu setelah melihat Noah Kalina yang telah merakamkan dirinya setiap hari selama enam tahun.
Jelas Hugo lagi, proses menghasilkan video itu memakan masa yang lama dan merumitkan kerana terpaksa ‘bergelumang’ dengan 2000 keping gambar untuk mendapatkan apa yang diingini.
Tambahnya lagi, dia cuba untuk mengekalkan posisi badannya sepanjang merakam gambar itu supaya perubahan yang berlaku pada wajahnya jelas kelihatan dan cuba untuk tidak menampakkan sebarang reaksi.
Selain itu, Hugo turut memuat naik gambarnya melalui Instagram miliknya yang hanya mempunyai seramai 300 pengikut sahaja. – MYNEWSHUB.CC