PASANGAN yang berasal dari Kanada ini telah berkunjung ke merata dunia bersama-sama sebelum membuat keputusan untuk mengubah persahabatan mereka ke peringkat pertunangan.
Selepas menentukan tarikh perkahwinan, mereka mengambil keputusan untuk mengadakan majlis di California, Amerika Syarikat.
Selasa minggu lalu, mereka melafazkan ikrar perkahwinan di bawah khemah besar berhampiran persisiran Sungai Kings.
Majlis perkahwinan itu bertemakan konsep outdoor yang sederhana tanpa altar, tanpa bangku dan tiada tetamu yang hadir, melainkan kucing.
Kawasan yang dipilih pasangan itu sebenarnya pusat perlindungan kucing seluas 48,000 meter persegi dan merupakan pusat perlindungan kucing terbesar di Amerika Syarikat.
Ribuan kucing menghadiri majlis tersebut sebagai saksi Louise Veronneau dan Dominic Husson menjadi pasangan pertama yang berkahwin di The Cat House.
Louise dan Dominic berkata mereka memilih berkahwin di tempat tersebut kerana sangat menyukai kucing dan mahu menjadikan hari penting mereka itu lebih bermakna. – MYNEWSHUB.CC