LONDON - Datuk Bandar London, Sadiq Khan menjemput Donald Trump bertandang ke London bertemu isteri dan anak perempuannya dalam usaha untuk menghentikan pertelagahan berhubung cadangan calon utama Republikan itu untuk mengharamkan orang Islam daripada masuk ke Amerika Syarikat.
Wakil Parti Buruh itu mempertahankan pendiriannya dengan mengatakan Trump ‘jahil’ terhadap Islam dan tindakan itu bakal membawa hartawan itu kecundang dalam persaingan untuk merebut jawatan utama di Rumah Putih pada November depan.
Bagaimanapun, Trump mengatakan kenyataan Datuk Bandar itu ‘sangat kurang ajar’ dalam satu temu bual rancangan Good Morning Britain dan mencabar Khan untuk melakukan ujian IQ.
Katanya, Khan tidak pernah bertemu beliau dan tidak tahu apa-apa mengenai dirinya. Kenyataan itu dibalas jurucakap Khan, dengan mengulangi bahawa pandangan Trump adalah ‘jahil’, boleh memecah belah dan berbahaya.
Akhirnya dalam usaha untuk menghentikan pertelagahan itu, Khan menawarkan untuk menjadi tuan rumah dengan menjemput Trump datang ke London bagi bertemu isterinya, Saadiya dan dua anak perempuannya, Anisah dan Ammarah.
Khan menyatakan hasratnya menjemput Trump ketika temu bual bersama program ITV Good Morning Britain. – AGENSI/BH ONLINE