Saturday, October 26, 2024

Creating liberating content

Tutup Pusat Tahfiz Tindakan...

KUALA TERENGGANU - “Takkanlah marahkan nyamuk, kelambu dibakar. Tak betul tindakan begitu.” Demikian komen...

Bekas Pengerusi MIC N....

SEREMBAN - Bekas Pengerusi MIC Negeri Sembilan, Datuk T Rajagopalu, 63, meninggal dunia...

Kamal Adli Serik Dengan...

MENJADI seorang selebriti yang berjaya bukanlah mudah walaupun mereka sudah melibatkan diri dalam...

Logo Kasut Mirip Kalimah...

KOTA BHARU - Polis Kelantan memeriksa enam kedai kasut jenama Vern's di negeri...

PRN Sarawak: ‘Sar Kuan’ Minta Peluang Sekali Lagi

KUCHING – Datuk Dr. Sim Kui Hian boleh menjejak langkah mendiang bapanya sekiranya berjaya mengemudi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) mencapai prestasi membanggakan pada pilihan raya negeri Sarawak (PRN), Sabtu ini.

Bapanya, Tan Sri Sim Kheng Hong berkhidmat sebagai timbalan ketua menteri selama 16 tahun, tempoh paling lama dalam sejarah negeri Sarawak.

Sim Kheng, yang meninggal dunia pada 1992 ketika usia 70 tahun, merupakan wakil rakyat dari 1963 hingga 1990 dan pernah memegang beberapa jawatan dalam Kabinet negeri termasuk menteri kewangan.

Bagaimanapun, bagi satu-satu anak lelaki mendiang, laluan Kui Hian ke Dewan Undangan Negeri (DUN) penuh berliku.

Pakar kardiologi yang kini ahli politik itu bukan sahaja bertarung memulihkan parti berasaskan kaum Cina malah melakukan percubaan kedua untuk ke DUN.

Pada PRN 2011, Kui Hian kalah kepada calon DAP, Violet Yong dengan majoriti 7,595 undi pada pertandingan satu lawan satu di kerusi DUN Pending.

Menjadi broker kuasa satu ketika dahulu dalam politik Sarawak, kini parti politik tertua di Sarawak itu hilang aura apabila penguasaan politik kaum Cina dirampas oleh parti pembangkang DAP.

Selain itu, beberapa ‘orang kuat’ parti itu meninggalkan parti itu untuk membentuk kelompok serpihan iaitu Parti Rakyat Bersatu (UPP).

Berdepan misi hidup atau mati pada PRN kali ini, ‘Sar Kuan’, panggilan orang Cina terhadap SUPP kerana lambang tiga bulatan dalam logo parti itu; menggesa masyarakat itu memberi peluang kepada parti di bawah kepimpinan Kui Hian, yang menjadi presiden pada 2014.

Presiden SUPP, Datuk Dr. Sim Kui Hian
Presiden SUPP, Datuk Dr. Sim Kui Hian

Ahli parti itu mengakui bahawa SUPP sebahagiannya perlu menyalahkan diri sendiri atas kegagalan masa lalu termasuk perbalahan dalaman sehingga menyebabkan parti itu kalah teruk pada PRN 2006 dan 2011.

Tetapi itu kisah lama, kata mereka, dan parti itu telah melalui proses pembaharuan dan Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem berdiri teguh di belakang 13 calon SUPP termasuk Kui Hian pada pilihan raya negeri kali ini.

SUPP tidak dapat mencari sokongan lebih hebat daripada ‘Tok Nan’, panggilan mesra bagi Tan Sri Adenan Satem. Sejak mengambil alih jawatan ketua menteri pada 2014, Adenan ‘membuka tangannya dengan luas’ kepada masyarakat Cina.

Sejak beberapa hari lepas, Adenan meminta masyarakat Cina memberi undi kepada kesemua calon SUPP kerana beliau mahu masyarakat itu diwakili dalam Kabinet negerinya.

“Kami sedang berusaha dengan keras. Salah kritikan pada 2011 adalah mengenai parti dibarisi pemimpin berusia. Dalam tempoh dua tahun lepas, kami mendapat banyak pemimpin muda berusia dari 30 dan 50 tahun,” kata Kui Hian, yang berusia 49 tahun.

Temenggong Lu Kim Yong, pemimpin tertinggi komuniti Cina di Kuching, berharap puak dalam SUPP dapat menyelesaikan perbezaan mereka dan menghantar mesej kepada pengundi Cina bahawa mereka telah berdamai.

“Masyarakat Cina tidak mahu sebuah parti politik yang bergolak. Sentimen di luar sana adalah apabila anda berkelahi, saya tidak akan menyokong kerana anda tidak mempunyai masa untuk berkhidmat kepada rakyat. Jadi hentikan perbalahan,” katanya.


Penganalisis politik, Dr. Jeniri Amir bersetuju dengan pandangan tersebut.

Susulan perbalahan dengan UPP, beliau berpendapat SUPP tidak banyak memberi kesan kepada pengundi Cina, sekalipun ganjaran pemimpin Cina dilantik sebagai jawatan timbalan ketua menteri selepas bekas presiden SUPP, Tan Sri Dr. George Chan.

“Dengan Adenan, akan ada peralihan sokongan kaum itu tetapi tidak begitu ketara…paling terbaik empat kerusi majoriti Cina kembali semula kepada BN,” katanya.

SUPP1
Sarawak United People’s Party (SUPP)

Calon SUPP terdiri daripada Kui Hian sendiri di Batu Kawah, Peter Pau (Padungan), Milton Foo (Pending), Sih Hua Tong (Batu Lintang), Wilfred Yap (Kota Sentosa), Lo Khere Chiang (Batu Kitang), Datuk Seri Huang Tiong Sii (Repok) dan Diing Kuong Hiing (Meradong).

Chieng Buong Toon (Bukit Assek), Datuk Pau Chong Ung (Tanjong Batu), Datuk Sebastian Ting (Piasau), Datuk Lee Kim Shin (Senadin) dan Datuk Francis Harden Hollis di Simanggang.

Lebih separuh daripada calon adalah muka baharu yang akan bertanding di kawasan majoriti Cina kecuali Simanggang, kawasan majoriti kaum Dayak dan kawasan campuran di kerusi DUN Senadin.

Memakai baju SUPP berwarna kuning dengan slogan ‘United We Can’ (Bersatu Kita Boleh), Kui Hian, yang dilantik sebagai Anggota Dewan Negara pada 2014, berkata isu-isu mendesak kepada masyarakat Cina kini ditangani secara berperingkat oleh Adenan.

“Isu-isu seperti kerajaan yang bersih, telus dan adil, perniagaan, peluang pekerjaan dan pendidikan sangat dekat di hati masyarakat Cina. Berilah kami peluang untuk menunaikan apa yang kami janjikan.

“Saya memberi jaminan kepada masyarakat Cina bahawa mereka tidak akan kecewa,” katanya.

Pada PRN 2011, SUPP menerima tamparan hebat apabila kalah 13 daripada 19 kerusi ditandinginya. Satu daripada kerusi itu dimenangi oleh calon PKR manakala 12 lagi kerusi berkenaan menjadi milik wakil DAP. – BERNAMA

#PRNSARAWAK

TINGGLKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kategori