SEREMBAN – Kira-kira 11 MyFarm Outlet atau pasar belian terus hasil pertanian akan diwujudkan di seluruh negara dalam usaha kerajaan menangani kos sara hidup yang dihadapi masyarakat.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata ia dijangka akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat.
“Insya-Allah kita akan buka dalam masa terdekat ini lebih kurang 11 lagi MyFarm Outlet.
Melalui Jawatankuasa Khas Menangani Kenaikan Kos Sara Hidup Rakyat yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang saya sebagai sekretariatnya, kita telah bersetuju supaya MyFarm Outlet ini kita buka lagi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan Pasaraya Syed di Kipmart Senawang, dekat sini, hari ini.
Turut hadir Pengerusi Eksekutif Pasaraya Syed, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal dan Pengerusi Skuad Smart Pengguna 1Malaysia Datuk Hasnah Salam.
Dalam pada itu, Hamzah menafikan kononnya kewujudan MyFarm Outlet dilihat membunuh konsep pasar tani atau agrobazar, malah menegaskan bahawa ia bertujuan untuk memberi perkhidmatan kepada masyarakat dalam skala yang lebih besar.
“Tidak bunuh pasar tani. MyFarm Outlet ditempat yang volumenya (penggunanya) besar seperti Putrajaya, Johor Baharu dan bandar-bandar besar yang lain.
Sebaliknya di kawasan-kawasan kecil konsep pasar tani masih diteruskan,” katanya.
MyFarm Outlet dikendalikan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menawarkan barangan keperluan dengan harga lima hingga 20 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran bagi memberi pilihan kepada pengguna.
Dibuka dari 10 pagi hingga 10 malam setiap hari, MyFarm Outlet memasarkan tujuh kumpulan barangan keperluan utama iaitu ayam, ikan, daging, sayur-sayuran, buah-buahan, barangan hasil industri asas tani dan barangan sejuk beku. – BERNAMA