SESIAPA yang menonton konsert Gempak Superstar pastinya menyedari bahawa komen yang dilemparkan salah seorang juri program realiti itu kepada para peserta memang agak pedas dan tajam.
Peserta Gempak Superstar diadili oleh dua juri tetap iaitu Fauziah Datuk Ahmad Daud atau lebih mesra dipanggil Kak Ogy dan Amy Mastura.
Jika sebelum ini, pelakon Izreen Azminda mengakui komen juri telah menguris hatinya dan membuatkan dirinya berasa tertekan.
BACA: Kritikan Tajam Juri Guris Hati, Buat Peserta Rasa ‘Down’ – Izreen
Terbaharu, aktres Siti Elizad pula mengeluarkan kenyataan bahawa dia tersinggung dengan komen juri yang mempertikaikan komitmennya dalam program itu.
Menurut Elizad, komen Kak Ogy kepadanya pada konsert itu seolah-olah memberi gambaran dia seorang artis yang tidak berdisiplin.
“Kak Ogy komen saya tidak datang kelas punca prestasi saya merosot, saya akui tidak datang kelas sekali sahaja, tapi itu bukan kerana saya suka-suka dan tidak berdisiplin.
“Saya terkilan kerana saya seorang yang sangat mementingkan disiplin dan tidak suka menyusahkan orang, cuma waktu itu kerana ada penggambaran iklan. Saya sudah maklumkan awal-awal kepada Astro sebelum saya setuju untuk terlibat dalam program ini.
“Bila dia cakap kepada umum seolah-olah saya seorang yang bermasalah dan tidak beri komitmen, saya terasa hati.
“Kami bukan artis profesional jadi jangan letak harapan terlalu tinggi. Jika ada salah tolong tegur dengan baik dan ajar kami untuk membetulkan,” katanya kepada mStarOnline.
Program realiti Gempak Superstar yang menampilkan para aktor dan aktres tanah air menyanyi sambil berlakon kini bersiaran setiap Ahad, pada jam 9.00 malam  di saluran Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123) – MYNEWSHUB.CC