BESUT – Polis Besut menahan seorang lelaki yang memiliki sebanyak 430 biji pil kuda bernilai RM4,000 dalam sebuah kereta di tepi jalan Kuala Terengganu-Kota Baharu, dekat Kampung Renek, di sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Besut Supt Mohd Zamri Mohd Rowi dalam kejadian pada 5 pagi itu, pasukan peronda mencurigai sebuah Proton Perdana yang diletak di tepi jalan dan bertindak menjalankan pemeriksaan.
Katanya, seorang lelaki berusia 23 tahun, berasal dari Hulu Besut didapati sedang tidur di dalam kereta berkenaan sebelum mengejut dan menyuruhnya keluar daripada kereta untuk dilakukan pemeriksaan.
“Satu beg silang dijumpai dari badan lelaki berkenaan…ia turut mengandungi sejumlah pil kuda pelbagai warna termasuk dua paket dan satu tiub berisi serbuk kristal disyaki dadah jenis syabu,” katanya kepada media di sini hari ini.
Suspek dibawa ke Balai Polis Jerteh dan siasatan awal mendapati suspek baru menerima bekalan dadah berkenaan dari Kelantan dan ujian saringan awal air kecing terhadap suspek didapati positif amphetamine.
Suspek ditahan reman empat hari bermula hari ini dan akan didakwa mengikut Seksen 39A (2) ADB 1952. – BERNAMA