PENGGEMAR animasi terkenal, Hello Kitty bakal merasai pengalaman baharu apabila tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura kerana sebuah kafe Hello Kitty dibuka di sana.
Menurut pihak pengurusan lapangan terbang itu, kafe itu dibuka mulai 12 Mei di Dewan Ketibaan Terminal 3 dan ia merupakan yang pertama seumpamanya di dunia yang beroperasi selama 24 jam.
Para penggemar watak ikonik Sanrio itu boleh merasai pengalaman ‘makan’ bersama Hello Kitty memandangkan setiap sudut kafe itu, dari segi dekorasi hingga ke hidangan menampilkan maskot kucing terkenal itu.
Selain menampilkan watak ikonik tersebut, ia juga mengenengahkan bunga kebangsaan negara itu dengan menonjolkan konsep taman orkid.
Malah maskot Hello Kitty juga direka khas untuk kafe itu dengan memakai dua reben kepala serta berbaju ungu berbintik polka, yang dijual dengan harga S$49.90 (RM147.25) dan merupakan edisi terhad.
“Lapangan terbang ini akan menjadi satu daya tarikan untuk penduduk tempatan dan pengalaman yang diperoleh di kafe itu akan membuatkan mereka ingin kembali lagi ke Singapura.
“Manakala bagi pelancong asing pula, kafe tersebut akan menjadi destinasi wajib bagi mereka sebelum berlepas dari negara ini,” kata pihak Lapangan Terbang Changi. – MYNEWSHUB.CC