RASANYA masih belum terlambat lagi untuk kami mengucapkan tahniah kepada Adira atas kemenangan merangkul trofi penyanyi wanita popular dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH 2015) baru-baru ini.
Dalam menyambut kegembiraan itu, muncul cerita kurang enak apabila segelintir peminat meluahkan rasa kecewa menerusi laman Facebook kerana tidak dapat bergambar bersama penyanyi lagu Ombak Rindu itu gara-gara dihalang oleh suaminya, Datuk Seri Adenan Abu.
Tampil menjelaskan hal sebenar, Adira memberitahu apa yang berlaku adalah salah faham semata-mata sebaliknya suaminya berbuat demikian kerana kesian melihatnya.
“Pada saya perkara ini adalah salah faham. Suami berbuat sedemikian sebab kasihan melihat saya yang sudah terlalu lama berdiri sehingga hampir sejam semata-mata bergambar dengan peminat.
“Lagi pula ketika itu sudah lewat malam, ditambah pula dengan saya yang kelaparan.
“Suami bercakap dengan baik dan tidaklah seperti yang diperkatakan itu,” katanya kepada Harian Metro.
Pada masa yang sama, Adira turut memohon maaf sekiranya insiden itu membuatkan ada yang terasa hati dan dia telah sedaya upaya memuaskan hati semua orang.
Adira, 25, mendirikan rumah tangga bersama ahli perniagaan, Adenan, 38, pada 3 Disember tahun lalu. – MYNEWSHUB.CC