PETALING JAYA – Menyedari pentingnya menyemai kesedaran masyarakat mengenai kepentingan air, Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) akan menganjurkan larian ‘Thirsty Runner 2016’ sempena Hari Air Sedunia 2016 pada 22 Mei ini.
Acara yang mendapat kerjasama Forum Air Malaysia dan Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) itu akan diadakan di Laman 1, Malaysia Agro Exposition Park, Serdang.
Timbalan Presiden WECAM, Mohd Yusof Abdul Rahman berkata acara itu merupakan satu usaha untuk meningkatkan kesedaran peserta terhadap kepentingan akses kepada bekalan air yang selamat, bersih dan berterusan.
“Matlamat acara ini untuk memastikan pembangunan mampan negara dan merealisasikan semua hak manusia menerusi akses kepada air,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata purata penggunaan air seharian bagi individu di Malaysia adalah 210 liter pada tahun 2013 dan angka itu menunjukkan antara penggunaan air tertinggi di rantau ini.
“Berikutan itu, ‘Thirsty Runner 2016’ boleh dijadikan tempat sebagai peringatan untuk menggunakan air dengan baik dan cermat pada setiap masa.
“Keunikan acara pada kali ini ialah, peserta hanya akan disediakan minuman pada ‘checkpoint’ terakhir iaitu berbeza dengan acara larian lain yang menyediakan air pada setiap ‘checkpoint’,” katanya.
Acara itu mempunyai dua kategori utama iaitu 12 kilometer (km) dan 6km yang menyediakan hadiah wang tunai berserta baucar barangan elektrik sumbangan penaja manakala bagi kategori 3km peserta hanya diberi medal penyertaan.
Pendaftaran dalam talian di laman sesawang www.myraceonline.com dibuka sehingga 12 Mei, 11.59 malam. – BERNAMA